## Hadirnya kesedihan ##

Kesedihan..
engkau sering datang tanpa di undang
engkau menjelang tanpa ungkapan salam
engkau menerpa masuk tanpa di jemput
engkau hinggap lekat di berbagai sudut

dengan wajah yang menyimbah resah
dengan lidah yang menempah gundah
dengan cara yang membawa lara
dengan bahasa yang menjelma duka
bagimu rupa yang bermacam warna
hingga ku lupa membezakan nama

kesedihan..
pada awal mengenalimu,aku begitu terkedu
wajahmu nan suram seakan hidup menjadi kelam
aku terdiam dan terbungkam
siang bagaikan malam..
cahaya bagaikan kelam..
kau cuba palutkan rasa takut dan kalut
sehinggga nafas menjadi semput dan susut
lantas kau rampas ceria hidup yang di hirup

kesedihan..
tika ini telah lama ku mengenali mu
apa tidak, sering kau lalu dan bertamu
entah berapa kian kali kau datang ke sini
entah berapa waktu ku kau ganggu
entah berapa medan dah kau ku tentang.
entah berapa lama kita berkawan tanpa sayang
datang dan pulang mu sama sahaja
hadir dan pergi tiada bedanya..

kesedihan! sejak dulu apa yang ku tahu
setiap kali ku lihat rupa sayu mu
ku panggil syahdu nama tuhan ku
setiap kali ku dengar telapak kakimu bergerak
ku seru tuhanku dengan sebak
setiap kali ku rasa kau mula melangkah
jiwa ku pun pasrah,pada Allah ku berserah !

kesedihan! ku tahu
ku tahu kau kan terus datang ,sukar di halang..
kau kan terus bertamu sukar dijemu..

namun pabila kita berjumpa
kau kan ku hambat dengan airmata munajat
kau kan ku lontar dengan esakan istighfar
kau kan ku siaga dengan tangisan doa
kau kan ku gempur dengan rasa syukur

kesedihan! hadirlah jika itu yang kau mahu..
moga jelmamu selalu membangunku pilu di malam syahdu
untuk ku basahi pipi dengan meratapi :
"ya rabbi ! Kasihi lah hambaMu ini !"

**************************
[Dr Mohd Azri Zainul Abidin-13042009]

Komentar

Postingan populer dari blog ini

AKSI NYATA 1.3 VISI GURU PENGGERAK

AKSI NYATA 3.3 PENGELOLAAN PROGRAM YANG BERDAMPAK PADA MURID

BOSAN...????